DATUK DJ Dave atau nama betulnya Irwan Shah Abdullah adalah antara selebriti pertama yang melebarkan sayap dengan terjun ke bidang perniagaan menerusi penubuhan Shahdave Holdings Sdn. Bhd.
Kemudian, trend itu makin berkembang dan menjadi ikutan beberapa artis lain ketika era itu. Sama seperti haluan yang dipilih Datin Seri Tiara Jacquelina, pelakon, model, penyanyi dan kini merangkap penerbit filem dan teater yang telah berhasil menubuhkan produksinya, Enfiniti Production Sdn. Bhd.
Malah, bukan hanya dua nama itu, senario menceburi bidang perniagaan di samping aktif berkarier dalam dunia sebenar turut diteladani oleh artis-artis seperti Datuk Sheila Majid, kumpulan KRU, Datuk Yusof Haslam, Linda Onn, Fasha Sandha, Dynas Mokhtar, penyanyi kesayangan ramai Datuk Siti Nurhaliza, dan ramai lagi.
Bagi yang sudah membina tapak kukuh dalam industri hiburan, mungkin tidak begitu prihatin untuk mempunyai bisnes sendiri. Namun, bagi dua figura muda, Fizo Omar dan Neelofa, merasakan perlu untuk mereka mengambil inisiatif awal untuk membuka bisnes mereka sendiri.
Ibarat pelaburan awal untuk meraih untung pada masa depan, ujar Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar yang berusia 26 tahun itu: "Seseorang pelakon akan dilihat lebih tinggi kelasnya kalau ada bisnes sendiri. Lagipun dengan mempunyai bisnes sekurang-kurangnya ada pelan sokongan apabila tua kelak."
Keluarga dan bisnes, dua item yang sememangnya tidak boleh dipisahkan daripada anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu, namun di samping kedua-dua perkara itu, minat juga mendorongnya untuk meneruskan usaha yang sedang dibikinnya kini.
"Menceburi bisnes mesti selari dengan minat kita, sama seperti saya yang minat memasak sejak di bangku sekolah rendah lagi, begitu juga aliran perniagaan saya yang tidak boleh dipisahkan daripada dunia masakan," ujarnya yang ditemui ketika majlis pra pelancaran dan sidang akhbar Persidangan Usahawan Muda Asia Pasifik (APEC YES 2011) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Jalan Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menerusi APEC YES 2011 yang dilancarkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir itu, Fizo dan Neelofa merupakan antara dua artis yang terpilih untuk memperoleh geran RM200,000 untuk mengusahakan perniagaan mereka.
Empat strategi Fizo
Sementara itu, empat strategi Fizo yang sedang diusahakannya kini, mengusahakan bisnes sarang burung di tanah arwah ayahnya di Kelantan, mempergiatkan perusahaan bisnes serunding yang kini sudah dilaksanakan, mengkomersialkan makanan dan kuih-muih dari Kelantan serta menerbitkan sebuah buku masakannya sendiri.
Daripada keempat-empat sasaran itu, tiga daripadanya sudah hampir terlaksana. Antaranya buku resipi eksklusifnya yang kini tinggal 10 peratus lagi sebelum boleh dipasarkan.
"Memandangkan ibu saya berketurunan Thailand, maka kebanyakan resipi saya lebih mengutamakan masakan dari negara itu dan pastinya hidangan signatur saya adalah tomyam.
"Dalam buku resipi itu, saya akan mengajar bagaimana untuk menyediakan hidangan ala Thailand dan masakan Melayu dengan cara lebih ringkas, aktiviti harian saya berserta tips tambahan untuk penjagaan kesihatan dan petua masakan," katanya berkenaan buku masakannya itu.
Menerusi buku masakan yang belum lagi ditetapkan harganya itu, Fizo akan menyelitkan gambar-gambar eksklusifnya ketika kecil, keluarga serta aktivitinya waktu senggang buat tatapan peminat.
Dalam pada itu, Fizo juga bercita-cita untuk membuka sebuah kafe atau restoran sendiri selain mengusahakan tanah arwah ayahnya yang sebelum ini bagi menternak kambing dan itik.
Lofa kepada Neelofa
Sudah setahun dua bulan usia perniagaan kasut tumit tinggi pemenang Dewi Remaja 2010, Noor Neelofa Mohd. Noor atau nama komersialnya Neelofa.
Kini, sedang merancang untuk menukar jenama kasutnya yang sebelum ini dikenali sebagai Lofa kepada Neelofa menjelang bulan Januari tahun depan, aktres cantik itu juga sedang berusaha untuk mempelbagaikan lagi rekaan, warna, tekstur dan material produknya.
"Melalui geran yang diberikan ini, Lofa akan menggunakan untuk proses promosi dan rebranding kasut-kasut Lofa, selain tampil dengan konsep dan rekaan baharu," katanya yang mengakui dirinya sangat bertuah meraih tawaran itu.
Neelofa, 22, juga akan membuka sebuah gudang khas sama ada di Shah Alam atau Damansara untuk memudahkan proses penghantaran dan penyimpanan kasut-kasutnya.
Dijual antara harga RM150 hingga RM350 setiap pasang, pelakon drama Jiwa & Lara itu juga turut punyai strategi jangka panjangnya sendiri.
"Untuk masa depan memang ada hajat untuk membuka cawangan, Lofa sudah mendaftarkan syarikat Neelofa Sdn. Bhd. di MITI dan untuk cawangan yang bakal Lofa buka, kemungkinan Lofa akan mengurangkan jumlah rekaan kasut tetapi meningkatkan kuantiti setiap rekaan," tuturnya yang mengkhususkan rekaan kasut-kasutnya untuk peringkat umur 20 hingga 30 tahun.

No comments:
Post a Comment